Sejarah Sekolah

SEJARAH SEKOLAH


Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad atau singkatannya SMKSA yang lahir untuk keperluan pendidikan di daerah Kuala Terengganu ini,telah dibina pada tahun 1974 dalam proses pembinaan yang agak perlahan.Tapak SMKSA terletak di Kampung Losong Tangki Air tidak jauh dari pusat bandar Kuala Terengganu.

                Sekolah ini mempunyai tiga blok bangunan induk 2 tingkat,iaitu Blok A,B dan C.Ketiga-tiga blok ini,digunakan untuk bilik darjah,bilik peralatan sukan, bilik kaunseling, bilik Kadet Bersatu Malaysia, ruang-ruang pentadbiran, pejabat, bilik guru, perpustakaan, bilik ERT dan makmal.Selain itu, terdapat sebuah bangunan kantin dan sebuah bengkel seni perusahaan dan kedai koperasi.

                SMKSA mula beroperasi 2hb. Januari.1977,dikenali sebagai Sekolah Menengah Chabang Tiga, berasaskan nama mukim tempat letaknya sekolah ini.Ia menempatkan pelajar tingkatan satu seramai 539 orang , iaitu seramai 313 orang murid lelaki dan 226 orang murid perempuan yang kesemuanya berbangsa Melayu memenuhi 13 aliran kelas. Mereka adalah murid-murid sekolah rendah dari kampung-kampung Chabang Tiga, Losong, Durian Burung,Seberang Baruh dan sekitarnya yang sebelum ini menyambung pendidikan mereka ke Sekolah Menengah Padang Midin, Sekolah Menengah Tengku Bariah, Sekolah Menengah Panji Alam atau Sekolah Menengah Sultan Sulaiman sekitar Kuala Terengganu.

                Kumpulan guru yang menjadi peneroka kepada  sekolah ini seramai 23 orang iaitu 17 lelaki dan 6 wanita. Pengurusan dan pentadbiran sekolah diketuai oleh Encik Mohd bin Embong selaku Guru Besar dan dibantu oleh Mohd Salleh bin Ali sebagai guru penolong kanan.Manakala kakitangan bukan guru ialah seramai 6 orang yang bertugas sebagai pegawai kerani, pekerja am dan pengawal keselamatan,

                Mulai 1hb. Jun 1977 nama sekolah ini ditukar kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad.Ia diambil dari nama dua orang sultan yang pernah memerintah negeri Terengganu Darul Iman iaitu Almarhum Sultan Ahmad Shah I (1808-1830) dan Almarhum Sultan Ahmad Shah II (1876-1881) atau singkatannya SMKSA yang kini sudah banyak berubah wajah dan bentuk fizikalnya. Peningkatan prestasi akademik dan juga perkembangan budaya sekolah ini sendiri melahirkan satu kesesuian  iaitu digunakan sebagai sebuah sekolah bertaraf  ‘A’ mampu meledakkan ilmuwan  dan pendidikan kepada 1590 orang murid yang terdiri daripada 855 orang murid lelaki dan 729 orang murid perempuan. Aliran kelasnya meningkat kepada 50 buah kelas.

                Sejajar dengan pertambahan pelajar yang memuncak pada tahun 1984 iaitu seramai 1954 orang, pada tahun yang sama sebuah blok bangunan tambahan (projek kilat) telah dibina yang mengandungi 4 bilik darjah. Sebenarnya, sejak tahun 1981 lagi sekolah ini terpaksa mengadakan waktu  persekolahan dalam dua sidang, iaitu pagi dan petang.

                SMKSA mempunyai anggota guru yang cukup dan berpontensi sebagai tenaga pengajar, begitu juga kakitangan bukan akademik. Keperluan fizikal yang terdapat dilihat berubah dengan pembesaran ruang kantin, pembinaan sebuah dewan sekolah, sebuah surau baru yang lebih besar yang telah dirasmikan pembukaannya oleh Y.A.B Menteri Besar Terengganu, Dato’Seri Amar Di Raja Wan Mokhtar bin Ahmad pada tahun 1990. Bangunan KBSM yang mengandungi blok bangunan kelas, blok bangunan makmal dan pusat sumber sekolah telah mula digunakan pada tahun 1992.

                Perkembangan dalam akademik dan kokurikulum SMKSA telah menunjukkan peningkatan yang berterusan.Pada tahun 1985 hingga hari ini, telah menampakkan satu kemajuan yang seiring dengan sekolah-sekolah lain di Terengganu,iaitu pada tahun 1989, pencapaian SRP pada tahap 71.38 % dan SPM pula 91.67 %. Dalam usaha ke arah pengembangan akademik, SMKSA menubuhkan sebuah kelas pemulihan khas pada tahun 1983 bagi pelajar tingkatan satu yang berjaya mendudukkan mereka dalam peperiksaan SRP pada tahun 1985. Mulai tahun 1986, kelas pemulihan diubah dan digerakkan usaha pemulihan dalam bentuk menyeluruh di semua aliran tingkatan satu hingga lima. Pada tahun 1998 kelas pemulihan ini sekali kagi diubah menjadi kelas intervensi 3M. Kini,SMKSA menghala usaha akademik, kokurikulum mengikut pengkaedahan K.B.S.M.
               
Masalah disiplin di SMKSA bukan satu hal yang membebankan pihak sekolah.Unit Hal Ehwal Murid bersama-sama Badan Disiplin dan Guru Kaunseling sentiasa memupuk disiplin pelajar sekolah ini supaya peningkatan akademik tidak terbantut. Pelajar-pelajar yang bermasalah dan menduduki kelas-kelas yang mundur diserapkan ke dalam kawalan badan disiplin dan aktiviti pemulihan akhlak.

Kegiatan kokurikulum seperti biasa bergerak di peringkat sekolah. Penglibatan di luar sekolah berjalan lancar dalam semua bahagian seperti sukan ,aktiviti pasukan beruniform dan aktiviti akademik.Penglibatan ini berlaku dalam bentuk memberi khidmat sumbangan dan pertandingan, serta lawatan sambil belajar. Sebagai sebuah sekolah, SMKSA mempunyai lencana yang merupakan satu identiti sekolah. Motonya ialah

  


          “Berilmu, Beriman dan Berdisiplin ”

2 comments:

  1. Satu sumber yang tidak berapa pasti mengatakan asal SMKSA adalah Sekolah anika jurusan losong

    ReplyDelete
  2. Satu sumber yang tidak berapa pasti mengatakan asal SMKSA adalah Sekolah anika jurusan losong

    ReplyDelete